Demam Denggi

Assalamualaikum semua.

Sepanjang minggu lepas dan minggu ni memang sy penat sangat. Hari ni baru masuk kerja lepas mc 3 hari. Sebelum tu, cik suami@MR kena demam denggi. Lepas 4/5 demam tak kebah2 dan sakit teruk satu badan (dari kepala, tulang dan sendi), baru lah syak MR lepas tengok badan dia keluar rashes. Padahal dua kali pergi klinik, doktor tak periksa darah. Kali ketiga pergi baru periksa, platelet tinggal 47 je. Terus doktor tu refer ke A&E di PPUM memandangkan saya bekerja di UM, senanglah sikit nak berurusan.

Kena warded kat bilik rawatan akut di A&E sebab diorang nak pantau dari 11 pagi sampai dekat 10 malam. Ambil darah untuk periksa blood count dan juga liver function test (LFT). Ini pun ambil masa dua jam baru result nak keluar. Masuk air dua botol, periksa urin. 1/2 jam measure temperature dan BP. Orang yang menunggu lah penat. Dalam bilik tu mana ada kerusi nak duduk. Tik tok tik tok.... pukul 8.30 baru nampak doktor pakar masuk. Tunggulah giliran untuk di periksa oleh doktor pakar tu. Masa tu bilik tu memang penuh. MR kat katil 12 kalau tak silap. Sepanjang hari kat situ, MO yang periksa, untuk keputusan seterusnya memang kena tunggu doktor pakar.


Dari apa yang doktor pakar tu terangkan, bila ruam dah mula keluar, demam ni dah nak masuk recovery stage dan stage ni agak kritikal. Dan demam denggi memang takde ubat kecuali minum air dengan banyak. Sy memang dok paksa MR minum air tapi air kosong dan 100 plus. Huhuhuhu.... mana lah orang sakit tu nak lalu minum. Dah lah selera dia ke laut. Nasib baiklah cik suami tak de bleeding kat mana-mana. Doktor tu bagi option, kalau boleh minum air dengan banyak tak perlu admit ke ward tapi memang kena datang hospital balik untuk periksa darah atau admit je ke ward. Of course lah sy nak bawa balik rumah je. Kesianlah kat anak-anak. Dapat lah MR cuti sakit seminggu.

Esoknya, pergi ke RUKA di PPUM untuk periksa darah dan LFT lagi. Dapat kad untuk rekod pemerhatian pesakit denggi. Nampak tak tanda-tanda demam denggi tu. Semua dah ada kat MR tapi kami hanya perasan bila keluar rashes kat badan dia. Mana taknya, dah macam udang kena bakar.


Kat belakang kad tu ada guidlines untuk penjagaan di rumah. Memang kena ambil fluid dengan banyak. Tak cukup dengan air kosong je. Doktor kat RUKA tu berkali-kali tekan kan kesilapan yang sesetengah doktor buat, suruh pesakit minum air kosong dan 100 plus. Mana boleh weh.... bagi variety sikit macam air kelapa, barli, jus dan lain-lain untuk tampung balik cecair yang hilang dari badan. Lepas ni kena ingat lah.


Segala macam ubat tahan sakit macam aspirin, ponstant dan antibiotik perlu elakkan. PCM pun hanya redakan demam sekejap je, lepas tu suhu akan naik semula. Makan antibiotik pulak boleh sebabkan cirit birit. Patutlah bila MR makan antibiotik yg klinik panel prescribe kan, dia asyik cirit birit je. Huhuhuhu....


Alhamdulillah, semalam punya keputusan darah dah ok. Platelet pun dah naik ke 449. Ambil masa 7 hari juga platelet nak naik banyak tu. Kira dah sihat lah. Tapi kata doktor untuk fully recover tu ambil masa juga. Ye lah, sakit sendi-sendi tu bukan senang nak hilang. Dekat dua minggu jugalah MR sengsara. Bayangkan kalau kena denggi berdarah, mungkin lagi lama.

Sedikit info tentang demam denggi yang saya ambil dari Portal Rasmi KKM.

Demam Denggi

Pengenalan
Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.
Terdapat empat (4) jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).
Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.
Lebih 100 negara di Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Timur Mediterranean dan Pasifik Barat mengalami masalah denggi.
Tanda dan gejala
  • Kebiasaannya demam akan terjadi pada hari ke tiga (3) hingga ke empat belas (14) selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti, kebiasaannya di antara 4 hingga 7 hari.
  • Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk/kuat, sakit pada bahagian belakang mata serta otot-otot dan sendi-sendi. Ruam merah di kulit juga boleh terjadi.
  • Demam ini boleh mencapai suhu 40 - 41 C, dan selalunya akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dikalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot dan sendi-sendi. Demam denggi ini juga dikenali sebagai "breakbone fever".
  • Ruam selalunya akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam.
  • Muntah dan kurang selera makan.
Pemastian diagnosa penyakit
Antibodi akan dikesan di dalam darah (Dengue IgM) (Antibodi yang dihasilkan oleh sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan).
Ujian PCR (kaedah mengesan genetik virus) boleh mengesan virus denggi di dalam darah dan nyamuk boleh didapati di sesetengah makmal.
NSI antigen: Satu lagi test yang mengesan virus ini pada peringkat awal/demam.
Rawatan
  • Segera berjumpa dengan doktor kerana tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi.
  • Rehat dan banyakkan minum air masak. Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan demam dan mengurangkan kesakitan.
  • Elakkan ubat aspirin bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
  • Mandi jerlum.
  • Antibiotik tidak diperlukan.
Demam Denggi Berdarah
Merupakan demam denggi yang teruk disebabkan oleh jangkitan virus denggi.
Kebiasaan tanda sakit adalah sama dengan demam denggi. Pesakit akan menjadi teruk disebabkan oleh radangan di salur darah. Tanda-tanda yang biasa termasuklah muntah, pitam dan sakit di bahagian abdomen.
Salur darah di dalam badan boleh mengalami kebocoran dan menyebabkan isi padu darah berkurangan. Ini boleh menyebabkan pesakit mengalami renjatan (shock) dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.
Tiada ubat-ubatan yang khusus untuk merawat demam denggi. Pesakit perlu dimasukkan ke wad bagi rawatan demam denggi berdarah. Rawatan awal boleh mengelakkan kematian dengan kadar kurang daripada 1%. Pesakit akan diberikan rehidrasi untuk memastikan beliau tidak mengalami renjatan.
Walaupun nama penyakit ini demam denggi berdarah, masalah yang membawa kemudaratan adalah masalah kebocoran salur darah yang menyebabkan renjatan dan bukan pendarahan yang menjadi masalah utama.
Faktor penyumbang
Intravena:
  • Pembangunan yang pesat di bandar-bandar terutama di Negara Tropika menyebabkan kepadatan penduduk tinggi dan tapak binaan yang banyak.
  • Peningkatan penggunaan bahan plastik dan pembuangan tayar lama boleh menyebabkan pembiakan nyamuk yang baru.
  • Pergerakan manusia dari satu tempat ke tempat yang lain menyebabkan penularan berlaku dengan cepat.
Pencegahan
Pada masa sekarang tiada vaksin untuk mengubati demam denggi. Walau bagaimanapun usaha-usaha sedang dijalankan untuk menghasilkan vaksin tersebut.
Elakkan gigitan nyamuk dengan:
  • Gunakan ubat nyamuk.
  • Gunakan kelambu semasa tidur. Gunakan 'repellent' jika perlu.
  • Elakkan aktiviti semasa nyamuk aktif menggigit (5.30 pagi-8.00 pagi dan 5.30 petang-8.00 malam).
  • Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar daripada rumah.
  • Pasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.
Menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk:
  • Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah. Musnahkan semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya di besen, tayar lama, bekas bunga, bekas plastik dan tong. Jika tidak boleh dimusnahkan, letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di bekas tersebut.
  • Kerap tukar air di bekas minuman haiwan peliharaan.
Jika anak anda disyaki mengalami sakit denggi dan dipantau sebagai pesakit luar (tidak dimasukkan ke wad), bawa anak anda segera ke hospital/klinik jika:
  • Muntah berlarutan/berpanjangan.
  • Sakit perut.
  • Kurang bermaya/sawan.
  • Sesak nafas.
  • Pucat/sejuk pada tangan dan kaki.
  • Pendarahan: daripada gusi/hidung, muntah darah, najis berdarah dan tanda-tanda merah pada kulit.
@@@@@@

Kalau orang dewasa pun tak tertahan dengan gejala denggi ni, macam mana lah pulak kalau anak-anak yang kena. Minta dijauhkan lah. Demam ni pun boleh berulang. Jadi kena pastikan kat kawasan rumah kita tu tak de air yang bertakung. Macam yang kita tahu, nyamuk aedes ni banyak waktu awal pagi dan senja. Pasang ubat nyamuk time tu ye......

Post a Comment

0 Comments