Resepi Cucur Udang

Assalamualaikum semua.

Selamat meneruskan ibadah puasa. Alhamdulillah sudah hari ke tujuh belas kita menjalani ibadah puasa. Semoga semua terus istiqamah dalam membaca Al Quran dan amalan lain sepanjang Ramadan. Kita masih menjalani PKP sehingga 12 Mei nanti (ketika post ini ditulis). Cik Ila percaya ramai yang ada banyak masa yang boleh diisi dengan amalan-amalan tersebut. InsyaAllah.

Baiklah, dalam post kali ini Cik Ila nak berkongsi dengan kawan-kawan semua resepi cucur udang. Sedap makan ketika masih panas dan sangat sesuai untuk hidangan minum petang atau pun moreh. Nak minum petang tak boleh, kita buat untuk makan selepas solat sunat terawih lah ye. Teringat pula zaman sekolah dulu. Bila pergi sekolah agama, masa rehat mesti nak beli cucur udang dari seorang ustazah ni. Satu cucur udang berharga 20 sen dan cicahnya pula kuah kacang. Sedap lah hai :) 


Baik berbalik kepada resepi cucur udang yang Cik Ila nak kongsikan ini, resepi asalnya Cik Ila ambil dari blog che mat. Dan Cik Ila ubah sikit mengikut kesesuaian. Bagi yang nak cuba bolehlah buat mengikut resepi cucur udang dibawah ni ye :)

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung
1/2 camca besar yis segera
1 biji bawang besar - dipotong dadu
1 genggam taugeh - bersihkan dahulu dan ramas sedikit bersama bawang
10 tangkai daun kuchai - dipotong dalam saiz  inci
1 camca teh serbuk kunyit
10 ekor udang saiz besar - dipotong salam saiz setengah inci
1 sudu kecil garam
2 cawan air

Cara mebuatnya:

1. Cik Ila masukkan tepung, yis, serbuk kunyit dan garam dahulu ke dalam bekas besar dan gaul rata. Kemudian baru masukkan taugeh, bawang besar, daun kuchai dan udang yang telah dipotong tadi. Gaul rata semua bahan tadi baru masukkan air sedikit demi sedikit. Kita nak hasil adunan tepung tu tak terlalu pekat dan tak terlalu cair. Adunan Cik Ila ni guna tak sampai 2 cawan pun. Masih berbaki airnya :). Bila dah siap, tutup bekas dengan kain dan biarkan dalam 30 - 45 minit.

2. Panaskan  minyak dan sendukkan adunan. Cik Ila tak buat bulat2. Bentuk cucur udang Cik Ila memanjang. Disebabkan Cik Ila dah potong udang dalam adunan jadi memang tak perlu lagi nak letak udang diluar adunan. Cik Ila masak dengan api yang sederhana. Balik-balikkan cucur biar masak sekata. Bila dah masak, angkat dan toskan minya guna tisu dapur.

3. Cik Ila potong sebahagian daripada cucur udang sebelum hidangkan untuk mudahkan anak-anak makan. Dan bolehlah makan dengan sos cili. Yummy :)


Selamat mencuba dan Salam Nuzul Quran semua.

Post a Comment

0 Comments