01.11.23 Aku Accident



01.11.23- Sarjan Che Anuar, Pegawai Penyiasat yang buka siasatan kes cakap kat aku tarikh ni cantik sambil dia tulis tarikh ni dalam borang kat depan dia. Aku balas balik pada dia yang tarikh ni tak cantik pada aku. Why Shafiy?

Mestilah tak cantik sebab awal pagi ni aku terlibat dalam kemalangan. Bumper depan kemik dan lampu bahagian kiri pecah gara-gara kereta aku meluncur tanpa sempat nak tekan brek melanggar kereta di depan yang berhenti nak masuk simpang disebabkan ada kenderaan lain yang nak keluar. Alhamdulillah, tiada kerosakan dan kecederaan lain yang berlaku. Salah aku yang tidak berhati-hati dan cermat ketika memandu. 

Lepas bertukar no telefon dengan owner kereta satu lagi, kami sama-sama pergi ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur (Balai Polis Jalan Bandar). Buat laporan dan berjumpa dengan pegawai penyiasat. Disebabkan aku di pihak yang salah, kenalah saman RM300 dan kena selesaikan selewat-lewatnya 26 Disember nanti.

Gara-gara kejadian yang berlaku ni, aku teringat balik yang pagi tadi aku tak baca pun doa keluar rumah yang aku amalkan setiap hari tu. Bismillahi Tawakkaltu Alallah, La Haula Wala Quwwata Illa Billahil Aliyil Adzim. Khilaf aku sendiri. Adakah situasi akan berbeza sekiranya aku tak lupa untuk baca doa ini. Mampukah kita mengelak takdir yang telah ditetapkan?

Lagi satu, senang rupanya sekarang ni bila nak buat laporan kemalangan. Polis tu cari lokasi kejadian guna apps je. Lebih 20 tahun aku lalu jalan dalam UM ni, tak pernah pula aku ambil tahu nama-nama jalan ni. Tadi dia cari nama jalan guna apps je. Cepat je selesainya.

Nasihat aku, kalau ada yang hadapi situasi kemalangan macam aku (minor), jangan panik dan gaduh kat tengah jalan. Ambil no telefon masing-masing dan decide nak settle luar atau claim insurans. Kalau nak claim, buatlah laporan polis cepat2.



Jumpa lagi, InsyaAllah.

Post a Comment

0 Comments